Saturday, 27 February 2016

Kelantan diikat Sarawak di Kota Bharu

Gagal menguasai gelanggang ternyata memberi kerugian pasukan Kelantan untuk mengutip tiga mata penuh apabila sekadar seri 2-2 ditentang Sarawak, sebentar tadi.
Serba tidak menjadi, anak buah K Devan dilihat begitu janggal sesama rakan sepasukan sebaik wisel sepak mula ditiupkan pengadil.
Tiada keserasian dan taktikal kurang jelas menjadikan corak permainan Kelantan kelihatan hambar, manakala pemain seakan gugup berdepan asakan lawan.
Pada perlawanan ketiga Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV itu, Sarawak terlebih dahulu mengecewakan penyokong skuad Pamoga Qu Puteh dengan gol seawal minit kelapan melalui import mereka, Makeche Dhumba.
Sekali imbas, kesebelasan utama barisan pemain Kelantan bukanlah asing dengan gaya bola sepak tempatan kecuali pemain import. Namun, prestasi mereka masih dibayangi dengan krisis keserasian dan taktikal.
Hantaran jauh, tidak tepat dan kurang mencipta peluang sekali gus menjadikan Kelantan kurang mengancam pasukan lawan.
Malah, kelibat sentuhan magis kapten Mohd Badri Radzi juga tidak terlalu mewarna aksi berbahaya Kelantan yang begitu longgar pada posisi tengah.
Bagaimanapun, bekas naib juara Piala FA musim lalu itu berjaya menyamakan jaringan penghujung babak masa pertama.
Di pihak pasukan pelawat, persembahan anak buah Datuk K Rajagobal dengan misi memburu mata pertama pula lebih menonjol berbanding tuan rumah.
Walaupun dianggap sebagai pasukan 'underdog' pada perlawanan ini, Sarawak mempamerkan aksi melawan.
Malangnya, kesilapan-kesilapan mudah dilakukan pemain mereka sendiri memberi kelebihan buat Kelantan.


Sementara itu, separuh masa kedua memperlihatkan perubahan rentak permainan khususnya bagi Kelantan.
Kemasukan Indra Putra Mahyudin menggantikan Dramane Troare dan Brendan Gan menggantikan Wan Zaharulnizam sedikit sebanyak mengubah corak persembahan anak didik K Devan.
Hasilnya, mereka berhasil mendahului jaringan Sarawak buat seketika melalui hantaran Wan Zack Haikal yang disudahi penyerang, Blazhe Ilijoski di minit ke-63.
Namun, Makeche sekali lagi menutup ruang kemenangan untuk Kelantan melalui gol penyamaan lapan minit kemudian.
Melalui keputusan itu, Kelantan mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini manakala Sarawak terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata selepas tewas dalam dua perlawanan sebelum ini.

No comments: