JDT meneruskan persembahan tanpa kalah selepas menundukkan Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu sebentar tadi.
Pada aksi ketiga Liga Super itu, skuad Harimau Selatan tampil dengan rentak perlahan di awal permainan dan dicabar hebat pasukan tuan rumah.
Percaturan lebih berhati-hati dan teratur pengendali JDT, Mario Gomez dapat dilihat apabila dia menurunkan pemain berbeza di bahagian serangan berbanding perlawanan terdahulu.
Mungkin mahu menyimpan tenaga pemain import mereka, Safee Sali digandingkan dengan Pereyra Diaz sepanjang separuh masa pertama sebelum diganti dengan Martin Lucero di babak kedua.
Malah, kapten mereka Safiq Rahim hanya turun lewat masa kedua manakala posisi tengah terlebih dahulu dimainkan peranan oleh Hariss Harun, Azniie Taib dan Gary Steven Robbat.
Saling berbalas serangan, JDT melalui gerakan dan hantaran di posisi tengah menggunakan kelebihan larian pantas S Chanturu berjaya meledak gol pertama di minit ke-28.
"Saya sudah jangka jaringan itu sebaik menerima hantaran daripada Diaz. Apa yang penting saya dapat membantu pasukan mengutip tiga mata penuh," kata Chanturu sejurus perlawanan tamat.
JDT dilihat banyak mengerakkan hantaran pendek dan hantaran terus (through pass) untuk menggempur kubu pertahanan lawan.
Separuh masa kedua menyaksikan JDT lebih tenang mengatur permainan dengan kemasukan Safiq dan Lucero, bagaimanapun tiada sebarang gol dicatatkan.
Gol kedua JDT dijaringkan Pereyra Diaz pada minit ke-32.
Persembahan Terengganu juga nampaknya bervariasi, namun jentera serangan mereka kekurangan idea untuk memperdayakan benteng pertahanan JDT.
Gagal menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri, kombinasi Joseph Kalang Tie, Norsharul Idlan Talaha dan Fabian Lopez gagal menghadiahkan jaring untuk penyokong mereka.
Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Jengka, Felda United terus mengukuh kedudukan di takhta liga dengan menumpaskan T-Team 2-0.
Mengumpul sembilan mata melalui tiga perlawanan, Felda United mendahului JDT di tangga kedua dengan kutipan tujuh mata.
Perlawanan lain menyaksikan Selangor mengatasi Pahang 3-1 di Stadium Darul Makmur, manakala Perak sekadar mengutip satu mata diikat Kedah di Stadium Ipoh.
Satu lagi aksi melibatkan PDRM dan Pulau Pinang di berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.

No comments:
Post a Comment